ANALISIS KEPELBAGAIAN GAYA BAHASA BERFUNGSI BERDASARKAN ALIRAN SENI PENULISAN
Rozaiman Makmun
Universiti Brunei Darussalam
Roslina Abu Bakar
Universiti Putra Malaysia
Sri Kartika Hj Abdul Rahman
Universiti Brunei Darussalam
Noradinah Hj Jaidi
Universiti Brunei Darussalam
Nama Isu: Vol. 10, No. 1, Jun 2023
Abstrak
Menurut Lutfi Abas (1999), kefahaman terhadap aliran seni penulisan penting kepada penulis karya sastera. Berdasarkan aliran seni yang ditekuni penulis, pemilihan kata yang bersesuaian dapat menghasilkan gaya bahasa tertentu dan motif yang diperlukan dalam penyampaian tema kepada pembaca. Malangnya menurut Lutfi Abas (1995) sesetengah penulis karya sastera kurang menyedari kepentingan aliran seni penulisan. Menurutnya, aliran seni penulisan akan menentukan jenis tema dan gaya bahasa seseorang penulis. Dengan unsur bahasa yang tertentu, penulis mencipta leitmotif untuk menyampaikan tema. Oleh hal yang demikian, terbentuklah hubungan gaya bahasa, tema dan aliran. Justeru, pendapat ini menegaskan bahawa gaya bahasa juga berpotensi dijadikan leitmotif untuk mendukung tema penulisan. Kajian ini mempunyai dua objektif, iaitu pertama, memperlihatkan perbezaan penggunaan pelbagai jenis kata dalam beberapa karya penulis Brunei; dan kedua, membuktikan bahawa aliran seni penulisan karya sastera yang berbeza pasti ada ciri-ciri khas yang perlu dipatuhi. Untuk mencapai objektif kajian, kajian ini mengaplikasikan pendekatan kualitatif melalui kaedah analisis teks dengan memetik penggunaan pelbagai jenis gaya bahasa dalam karya penulis mapan di Brunei Darussalam. Di samping itu, kajian ini juga memanfaatkan pendekatan kuantitatif untuk membuktikan bahawa terdapat perbezaan dari segi peratusan jenis kata yang digunakan untuk menunjukkan bahawa novel Sumbangsih Seni berjaya mempertentangkan perbezaan penggunaan gaya bahasa bagi bahagian 1, 2 dan 3 berdasarkan dua aliran seni penulisan yang berbeza, iaitu aliran romantisisme dan pascamodenisme.