JURNAL PERTANIKA MAHAWANGSA

Info Jurnal

No. e-ISSN: 2805-5691

Penerbit: Universiti Putra Malaysia

Jenis Penerbitan: Dalam talian

Kekerapan Penerbitan: 2 kali setahun (Jun dan November)

Latar Belakang

Pertanika merupakan jurnal berwasit antarabangsa yang berfungsi sebagai medium penerbitan dan perbincangan isu pertanian tropika serta bidang berkaitan. Pertanika memulakan penerbitan pertama pada 1978 sebagai Journal of Tropical Agricultural Science (JTAS). Pada 1992, Pertanika diselaraskan kepada tiga jurnal berasingan, iaitu Journal of Social Sciences & Humanities (JSSH), Journal of Tropical Agricultural Science (JTAS) dan Journal of Science and Technology (JST) sebagai memenuhi keperluan jurnal yang lebih khusus dalam bidang pengajian. Pengasingan ini memberikan ruang tumpuan yang khusus terhadap kekuatan bidang yang pelbagai di universiti. Pada 2013, siri terbaharu dalam Pertanika telah diwujudkan, iaitu Pertanika MAHAWANGSA (Jurnal Bahasa, Budaya dan Warisan Melayu). Siri jurnal ini lebih tertumpu kepada bidang bahasa, budaya dan warisan Melayu. Pertanika MAHAWANGSA diterbitkan dalam bahasa Melayu, dua kali setahun, iaitu pada Jun dan November dan dibuka kepada pengarang dari seluruh dunia.

Matlamat

Menyebarluaskan penyelidikan berkualiti tinggi kepada umum.

Kualiti

Pertanika menyasarkan kecemerlangan melalui profesionalisme dalam penerbitan. Keputusan penerimaan makalah dijamin dalam tempoh 14 minggu. Masa diambil daripada serahan makalah kepada penerbitan untuk artikel adalah dalam purata 5-6 bulan.

Indeks Petikan

Pengetahuan dan pengalaman penerbitan selama 33 tahun telah melayakkan siri terbitan Pertanika diindeks dalam SCOPUS (Elsevier), Thomson (ISI) Web of Knowledge [CAB Abstracts], EBSCO, DOAJ, ISC, MyAIS dan Rubriq.

Visi

Pertanika akan terus mempertingkatkan kandungan, khidmat penyelidikan dan capaian arkib jurnal kepada umum. Pertanika berusaha merealisasikan wawasan baharu yang akan memberikan manfaat kepada ahli akademik dan masyarakat umum. Kemunculan medium atas talian menjadi pemacu utama sebaran berita penyelidikan terkini untuk pembaca Pertanika.

Skop dan Matlamat

Matlamat Pertanika MAHAWANGSA adalah untuk menjadi peneraju utama dalam bidang bahasa, budaya dan warisan Melayu merentas disiplin. Kandungan penulisan boleh berbentuk konseptual, teoritikal, empirikal, sejarawi, dan sebagainya dalam kerangka kebahasaan, kesusasteraan, pendidikan, kebudayaan dan warisan Melayu. Ranah pengajian mestilah meliputi alam Melayu dan diaspora Melayu.

Kenyataan Redaksi

Pertanika ialah jurnal rasmi Universiti Putra Malaysia. Singkatan untuk Jurnal Pertanika Bahasa, Budaya dan Warisan Melayu ialah Pertanika MAHAWANGSA.