KRITIKAN EKO DALAM BUKU PUISI BERGAMBAR KANAK-KANAK KOLEKSI CERITA SITI
Kaithiri Arumugam
Universiti Utara Malaysia
Rohaya Md. Ali
Universiti Utara Malaysia
Phat Awang Deng
Universiti Utara Malaysia
Nama Isu: Vol. 10, No. 1, Jun 2023
Abstrak
Penerapan elemen alam sekitar dalam karya kesusasteraan kanak-kanak dapat meningkatkan literasi alam sekitar dalam kalangan kanak-kanak. Terdapat keperluan yang penting pada masa ini untuk menyedarkan kanak-kanak tentang keadaan semasa, perlindungan dan pemeliharaan alam sekitar. Hal ini demikian kerana isu tentang alam sekitar telah menjadi perkara yang membimbangkan ramai pihak (Geetha Sahu, 2014). Namun demikian, kajian berkaitan dengan alam sekitar dalam karya sastera Melayu tidak dilakukan secara mendalam (Maharam Mamat, 2009). Sehubungan dengan itu, kajian ini dijalankan untuk memperkaya kajian dalam kesusasteraan kanak-kanak. Objektif kajian ini untuk mengenal pasti kritikan eko dalam buku puisi bergambar kanak-kanak dan menganalisis kritikan eko dalam buku puisi bergambar kanak-kanak berdasarkan empat prinsip kritikan eko Howarth (1996). Kajian ini telah menganalisis tiga buah buku puisi bergambar kanak-kanak daripada Koleksi Cerita Siti (2021) karya Siti Zainon Ismail. Kritikan eko oleh Howarth (1996) yang berlandaskan empat prinsip telah digunakan untuk menganalisis buku puisi bergambar kanak-kanak ini. Kajian ini menggunakan kaedah analisis kandungan untuk meneliti teks dan gambar yang terdapat dalam buku berkenaan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa buku puisi bergambar kanak-kanak yang dikaji sememangnya memaparkan elemen alam sekitar. Hal ini secara langsung dapat memberikan kesedaran kepada kanak-kanak tentang kepentingan alam sekitar dan hidupan lain dalam kehidupan mereka.