PENERAPAN KEBUDAYAAN DALAM BUKU CERITA BERGAMBAR KANAK-KANAK DI MALAYSIA
Kaithiri Arumugam
Kementerian Pendidikan Malaysia
Nama Isu: Vol. 11, No. 1, Jun 2024
Abstrak
Kebudayaan masyarakat Melayu di Malaysia merupakan satu perkara yang istimewa dan indah kerana mereka mengamalkan pelbagai kepercayaan dan kebudayaan yang tersendiri. Kepelbagaian budaya masyarakat Melayu yang ditunjukkan dalam buku cerita bergambar kanak-kanak membolehkan pembaca kanak-kanak yang terdiri daripada pelbagai kaum yang lain mengetahui dan memahami budaya masyarakat Melayu di Malaysia. Buku cerita bergambar kanak-kanak ialah karya yang merangkumi bentuk sastera dan seni yang unik kerana cerita disampaikan dengan mengutamakan paparan gambar pada setiap halaman muka surat. Gambar berfungsi sebagai pelengkap kepada teks dan mengikut jalan cerita yang sama seperti dalam teks dan memberikan lebih banyak maklumat serta menjadi daya penarik yang penting kepada pembaca kanak-kanak. Kajian ini dijalankan bertitik tolak daripada permasalahan yang wujud, iaitu ada sarjana yang mengatakan bahawa pengetahuan terhadap kebudayaan adalah penting bagi rakyat Malaysia, kerana wujud banyak salah faham dan prasangka daripada gagasan untuk mewujudkan kebudayaan kebangsaan Malaysia yang berteraskan kebudayaan peribumi (A. Aziz Deraman, 2001). Sehubungan dengan itu, kajian ini dijalankan untuk membolehkan pembaca kanak-kanak memahami kebudayaan masyarakat Melayu. Objektif kajian ini, untuk mengenal pasti budaya kebendaan dan bukan kebendaan dalam buku cerita bergambar kanak-kanak dan menganalisis budaya tersebut, berdasarkan pendekatan kebudayaan yang dikemukakan oleh A. Aziz Deraman (2001). Kajian ini menggunakan kaedah analisis kandungan untuk menganalisis unsur budaya masyarakat Melayu yang terdapat dalam empat buah buku cerita bergambar kanak-kanak yang diterbitkan di Malaysia. Dapatan kajian menunjukkan bahawa buku cerita bergambar kanak-kanak yang dikaji sememangnya mengandungi kebudayaan masyarakat Melayu dari aspek unsur budaya kebendaan dan bukan kebendaan sebagaimana yang dikemukakan oleh A. Aziz Deraman (2001).