FUNGSI SOSIAL PANTUN DALAM MENYEMAI INGATAN BUDAYA SETEMPAT DI NUSANTARA
Muhammad Al-Ameen Mustafa Kamal
The EAGLE Center Sdn. Bhd
Abstrak
Pantun diwartakan sebagai salah satu Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO Malaysia & Indonesia semenjak 2020. Namun, sebahagian masyarakat mendapati bahawa budaya ini kurang diamalkan kecuali di majlis rasmi dan upacara tertentu. Rentetannya, terbit kerisauan lama-kelamaan yang pantun akan diketepikan dalam masyarakat. Justeru, terdapat keperluan untuk mengukuhkan nilai pantun dalam masyarakat supaya pantun dibudayakan. Kajian ini bertujuan untuk mencerakin ciri pantun dalam fungsi sosial dalam menyemai ingatan budaya setempat di Nusantara. Kajian ini menjalankan kaedah proses sintesis sorotan kajian bersistem terpandu berdasarkan Ibrahim (2011 & 2020) mengikut kata kunci “pantun”, “fungsi sosial” dan “ingatan budaya”. Hasil kajian mendapati: (1) Pantun mempunyai 13 ciri dan menggunakan 20 tema; (2) Fungsi sosial pantun berjumlah 8 perincian dalam peringkat perseorangan, 9 perincian dalam peringkat masyarakat, 11 perincian dalam isihan menyampaikan pengetahuan, dan 11 perincian dalam isihan menyampaikan budaya; dan (3) Ingatan budaya boleh tercapai melalui 9 kaedah, menggunakan 10 kandungan, dan dinilai pada 12 kesan. Kajian ini mengusulkan cadangan teoretikal “Pantun Penyemai Ingatan Budaya Setempat” yang berdaya membolehkan pantun menyemai ingatan budaya setempat di Nusantara, sekali gus mengukuhkan nilai pantun untuk dibudayakan dalam masyarakat. Kajian selanjutnya disyorkan untuk mengabsahkan usulan tersebut dan menyadurnya menjadi tatasemai ingatan budaya pada peringkat Nusantara.