LAKUAN BAHASA ARAHAN DALAM UCAPAN LISAN TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD TERHADAP ISU 1MDB
Abd Ganing Laengkang
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
Rohaidah Haron
Universiti Malaya
Ab Razak Ab Karim
Universiti Malaya
Nama Isu: Vol. 9, No. 1, Jun 2022
Abstrak
Lakuan bahasa arahan ialah ujaran yang meminta seseorang melakukan sesuatu. Kajian ini dilakukan untuk menganalisis bentuk lakuan bahasa arahan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam isu 1Malaysian Development Berhad (1MDB). Analisis lakuan arahan menggunakan kerangka teori yang diperkenalkan oleh Austin (1962) dan Searle (1979). Sebanyak sepuluh ucapan lisan yang disampaikan antara 2015 hingga 2017 telah dipilih dan dimuat turun daripada youtube.com. Jumlah durasi keseluruhan 10 rakaman tersebut ialah selama 250 minit. Berdasarkan kerangka teori yang digunakan, kajian ini mendapati bahawa terdapat 13 jenis lakuan arahan dalam ucapan lisan Tun Dr. Mahathir. Kajian ini turut mendapati bahawa sebanyak 160 ujaran yang mengandungi elemen lakuan arahan. Daripada 13 jenis lakuan tersebut, lima jenis lakuan arahan yang mencatatkan bilangan tertinggi ialah lakuan persoalan kritis dengan kekerapan 24%, lakuan gesaan 20.9%, lakuan larangan 15.8%, lakuan desakan 10.1%, dan lakuan permintaan 9.5%. Kajian ini merumuskan bahawa Tun Dr. Mahathir menyuarakan satu isu dengan menggunakan pelbagai lakuan bahasa arahan. Tun Dr. Mahathir lebih cenderung melakukan persoalan kritis untuk mendapatkan penjelasan terperinci daripada pihak pengurusan 1MDB. Kemudian, Tun Dr. Mahathir menggesa pendengar untuk menyokong beliau dan Pakatan Harapan dalam PRU14 sebagai usaha menjatuhkan Dato Sri Mohd Najib. Selain itu, Tun Dr. Mahathir melarang pendengar untuk menyokong kepimpinan Dato Sri Mohd Najib, kemudian mendesaknya untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi 1MDB dan sebagai Perdana Menteri Malaysia. Lakuan permintaan pula ditujukan kepada pihak pendengar agar menyokong Tun Dr. Mahathir. Penggunaan pelbagai bentuk lakuan arahan terhadap pucuk pimpinan tertinggi negara, seperti mempersoalkan secara kritis dan mendesak kepemimpinan Dato Sri Mohd Najib, telah memperlihatkan bahawa Tun Dr. Mahathir sebagai seorang tokoh yang berani dan konsisten menyuarakan isu demi kepentingan negara.