PENGLIBATAN DAN PENDAYAUPAYAAN PESERTA PROJEK KOMUNITI YAYASAN SEJAHTERA


Sara Shakilla Mohd Salim

Universiti Pendidikan Sultan Idris

Asnarulkhadi Abu Samah

Universiti Putra Malaysia


Nama Isu: Vol. 9, No. 1, Jun 2022 

Abstrak

Artikel ini membincangkan hubungan antara penglibatan peserta projek kemiskinan oleh Yayasan Sejahtera (YS) dalam tiga peringkat iaitu pembuatan keputusan, pelaksanaan dan penerimaan faedah ke atas pendayaupayaan ekonomi, sosial dan psikologi peserta.  Dalam pembangunan komuniti, penglibatan dilihat sebagai satu matlamat apabila penglibatan secara langsung ahli komuniti dalam proses pembuatan keputusan, merancang dan melaksanakan aktiviti bagi memenuhi keperluan dan/atau mengatasi masalah yang dihadapi mereka. Penglibatan menyediakan ruang mempengaruhi dan berkongsi kuasa secara kolektif iaitu kuasa untuk menentukan dan memperoleh kawalan ke atas kehidupan mereka. Melalui penglibatan, banyak faedah diperoleh oleh komuniti sama ada bersifat kebendaan dan bukan kebendaan yang mampu meningkatkan keupayaan, kemampuan dan kebolehan mereka (Asnarulkhadi, 2005). Kajian ini merupakan kajian survei dengan pengumpulan data   menggunakan borang soal selidik.  Kajian ini menggunakan teknik persampelan rawak berstrata untuk memilih responden daripada 13 projek di ketiga-tiga negeri iaitu Kelantan, Sabah dan Sarawak.  Sebanyak 305 responden terlibat dalam kajian ini. Umumnya, kajian ini mendapati bahawa terdapat hubungan yang tinggi dan signifikan antara peringkat penglibatan (pelaksanaan dan penerimaan faedah) dengan pendayaupayaan sosial dan hubungan yang sederhana dan signifikan antara peringkat penglibatan pembuatan keputusan dengan pendayaupayaan ekonomi dan sosial dan peringkat penglibatan pembuatan keputusan dan penerimaan faedah dengan pendayaupayaan psikologi.  Sementara itu bagi hubungan peringkat penglibatan dalam pelaksanaan dengan pendayaupayaan psikologi pula menunjukkan hubungan signifikan yang rendah. Penglibatan peserta dalam projek YS merupakan medium untuk memperbaiki tahap kehidupan mereka ke arah yang lebih baik dan mampu mengawal kehidupan melalui pembentukan pendayaupayaan dalam diri mereka.

Lihat artikel penuh↗️


Terbit

2022-06-14