Tuan Siti Nurul Suhadah Tuan Adnan
Universiti Malaysia Kelantan
Mohd Firdaus Che Yaacob
Universiti Malaysia Kelantan
Nama Isu: Vol. 9, No. 1, Jun 2022
Cerita rakyat merupakan cetusan idea penglipur lara masa lampau untuk mendidik akhlak masyarakat setempat melalui komunikasi secara lisan. Kaedah penyampaian yang dituturkan dari mulut ke mulut telah mampu membentuk akhlak mulia menerusi pengajaran dan iktibar yang terkandung dalam cerita rakyat Melayu. Namun begitu, interaksi sosioekonomi dalam cerita rakyat kurang didedahkan oleh para sarjana dalam kajian mereka. Oleh itu, kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti dan menganalisis interaksi sosioekonomi dalam cerita rakyat Kilatan Emas berlandaskan Teori Pengkaedahan Melayu. Kajian ini telah membataskan penelitian aspek kepimpinan dalam karya cerita rakyat bertajuk Kilatan Emas. Dengan itu, kajian ini telah menggariskan satu pendekatan dalam teori pengkaedahan Melayu, iaitu pendekatan kemasyarakatan sebagai deduktif kajian. Selain itu, kajian menggunakan kaedah kualitatif yang melibatkan kepustakaan dan lapangan untuk menghasilkan sebuah kajian yang utuh. Hasil dapatan kajian membuktikan bahawa cerita rakyat Kilatan Emas memiliki interaksi sosioekonomi yang menonjolkan sikap kepimpinan terhadap kanak-kanak dan remaja, selain mampu mengekalkan tradisi budaya masyarakat Melayu.