MAHAWANGSA - M03 November 2022
PERCAMPURAN KOD MASYARAKAT MELAYU BILINGUAL DALAM APLIKASI WHATSAPP
Noraisah Masri
Universiti Putra Malaysia
Ernawita Atan
Universiti Putra Malaysia
Nama Isu: Vol. 9, No. 2, November 2022
Abstrak
Masyarakat Melayu kini merupakan masyarakat Melayu bilingual yang secara dasarnya dapat bertutur menggunakan lebih daripada satu bahasa. Kemampuan ini telah mencetuskan satu fenomena bahasa yang dikenali sebagai fenomena percampuran kod. Lazimnya, fenomena ini tidak hanya terarah kepada komunikasi lisan semata-mata, sebaliknya turut berlaku dalam komunikasi bertulis, terutamanya dalam aplikasi sosial. Justeru, kajian ini akan mengenal pasti percampuran kod beberapa medium bertulis pada aplikasi WhatsApp, di samping menganalisis fungsi percampuran kod yang berlaku berdasarkan Teori Percampuran Kod K.Kanthimathi (2007). Kaedah penyelidikan yang digunakan dalam kajian ini ialah kajian berbentuk kualitatif, dengan menggunakan kaedah analisis dokumen berdasarkan trasnkrip komunikasi bertulis pada aplikasi WhatsApp. Bahan diperoleh daripada analisis trasnkripsi tiga teks perbualan bagi setiap medium komunikasi bertulis WhatsApp, pada tarikh yang berbeza, iaitu antara Jun 2021 sehingga 10 Jun 2022. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat tiga medium yang dikenal pasti mengandungi percampuran kod (Melayu dan Inggeris) iaitu, medium komunikasi bertulis pada ruang muat naik status WhatsApp, ruang perbualan perseorangan dan ruang perbualan berkumpulan. Begitu juga, daripada sembilan fungsi percampuran kod yang diketengahkan oleh K.Kantimathi (2007), terdapat lapan fungsi yang digunakan, iaitu fungsi ekspresi, fungsi indentifikasi laras bahasa, fungsi memberi arahan, fungsi rujukan, fungsi pengulangan kata, fungsi sosialisasi, fungsi pendedahan bahasa asing dan fungsi sikap.