SIMBOL DAN SIRATAN MAKNA KUMBANG DAN BUNGA DALAM KURIK KUNDI MERAH SAGA
Noor Roza Hassan
Dewan Bahasa dan Pustaka
Norazlina Mohd Kiram
Universiti Putra Malaysia
Zairul Fakhri Zainal Abidin
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Nama Isu: Vol. 10, No. 2, November 2023
Abstrak
Kertas kerja ini membincangkan simbol kumbang dan bunga dalam pantun empat kerat yang bertemakan percintaan. Dasar pemilihan kedua-dua simbol ini adalah kerana pantun yang mengungkapkan simbol kumbang pada bahagian maksudnya sering disertakan dengan simbol bunga. Siratan makna pada kedua-dua simbol ini secara hipotesisnya dikatakan tidak berubah kerana simbol dan makna dalam pantun bersifat konvensional. Berdasarkan sifat inilah pantun sebagai alat komunikasi puitis begitu sinonim dengan kehidupan masyarakat Melayu tradisional. Dapatan daripada perbincangan ini memperkukuh hipotesis tersebut. Pada setiap rangkap pantun yang dipilih sebagai korpus perbincangan telah membuktikan bahawa simbol kumbang menyirat makna lelaki dan simbol bunga pula menyirat makna anak dara. Anak dara dalam pantun sering diingatkan atau dinasihatkan supaya berhati-hati dengan lelaki agar tidak mudah tergoda atau tertipu kerana akibatnya akan merosakkan nama baik dirinya, keluarganya dan masyarakat. Dapatan ini bertolak daripada teori simbolisme dengan objektifnya, untuk menghasilkan makna daripada kedua-dua simbol ini secara lebih jelas dan memperkukuh hipotesis bahawa simbol dan siratan makna dalam pantun bersifat tekal.