PENDIDIKAN SENI DI MALAYSIA: SATU PENELITIAN AWAL TERHADAP VISI, MISI DAN PELAKSANAAN PROGRAM PERMATA/GENIUS SENI
Mohd. Zariat Abdul Rani
Universiti Putra Malaysia
Adil Johan
Universiti Malaya
Nur Afifah Vanitha Abdullah
Universiti Kebangsaan Malaysia
Zaini Sakawi
Universiti Kebangsaan Malaysia
Nur Farzana Amali
Universiti Kebangsaan Malaysia
Abstrak
Kajian ini memfokuskan program PERMATA/GENIUS Seni yang dilancarkan pada peringkat nasional di Malaysia sejak 2010. Sejak dilaksanakan selama lebih 10 tahun, masih belum banyak kajian ilmiah yang sistematik dilakukan tentangnya. Hal ini mengundang satu penelitian terhadap program PERMATA/GENIUS Seni, khususnya aspek visi dan misi program, termasuk pelaksanaan visi serta misi tersebut. Kajian ini bertujuan mengenal pasti aspek integral dalam visi dan misi program PERMATA/GENIUS Seni, dan seterusnya meneliti pelaksanaan aspek integral tersebut melalui pelaksanaan tiga kategori program, iaitu PERMATA/GENIUS Seni Koir, PERMATA/GENIUS Seni Muzik dan PERMATA/GENIUS Seni Tari. Metodologi kajian ini bersifat kualitatif dengan menerapkan kaedah kajian kepustakaan dan temu bual. Kajian ini menyimpulkan bahawa program PERMATA/GENIUS Seni dirangka dengan visi dan misi yang jelas dengan penekanan terhadap dua aspek integral, iaitu pengasahan bakat dan pembentukan keperibadian. Walau bagaimanapun, dari segi pelaksanaan program, termasuk isi kandungan kurikulum, program ini dilihat lebih tertumpu kepada aspek pengasahan bakat. Pengabaian aspek pembentukan keperibadian terutama pengukuhan jati diri terlihat apabila penekanan diberikan terhadap kesenian yang berasal dari Barat, seperti koir, orkestra dan ballet. Kajian ini mencadangkan agar satu kajian khusus terhadap isi kandungan kurikulum program PERMATA/GENIUS Seni dilaksanakan dengan memberikan fokus terhadap aspek pembentukan keperibadian, terutama soal pengukuhan jati diri yang menjadi visi program.