Volume 12, Isu 2, November 2025
JURNAL PERTANIKA MAHAWANGSA
e-ISSN: 2805-5691
Siti Hajar Bidin
Universiti Putra Malaysia
Rozita Che Rodi
Universiti Putra Malaysia
Kata Kunci: pragmatik; Prinsip Kerjasama Grice; animasi; Upin dan Ipin; Keris Siamang Tunggal
Kajian ini merupakan suatu penelitian dalam bidang pragmatik terhadap perbualan yang terdapat dalam genre animasi. Kajian kualitatif yang bersifat deskriptif ini bertujuan untuk meneliti aspek pematuhan dalam Prinsip Kerjasama Grice (1975) yang meliputi empat maksim, iaitu kuantiti, kualiti, relevan dan cara melalui filem animasi Upin dan Ipin Keris Siamang Tunggal (2019). Data yang diperoleh daripada filem animasi ini, dianalisis berdasarkan pendekatan analisis perbualan yang telah diperkenalkan oleh Herbert Paul Grice (H.P. Grice), iaitu Prinsip Kerjasama Grice (1975). Berdasarkan pengklasifikasian dan analisis yang dilakukan, dapatan kajian memperlihatkan perbualan dalam filem animasi ini mematuhi prinsip kerjasama bagi keempat-empat maksim, dengan maksim relevan merupakan maksim yang paling dominan. Berdasarkan penelitian, dapat dirumuskan bahawa filem animasi Upin dan Ipin: Keris Siamang Tunggal ini terikat dengan norma-norma pragmatik apabila ujaran dalam filem animasi ini mematuhi ciri-ciri yang ada dalam maksim Prinsip Kerjasama Grice (1975). Hasil analisis dalam kajian ini dapat memberikan satu rumusan tentang kepentingan Prinsip Kerjasama sebagai elemen penting pragmatik dalam genre animasi. Kajian dalam bidang pragmatik dapat menimbulkan kesan kepada makna ujaran yang mudah difahami serta mengelakkan berlakunya salah faham dalam perbualan. Pemilihan bahasa yang tepat dalam genre animasi akan memberikan pengaruh yang baik kepada pembentukan bahasa dalam kalangan penonton.