Volume 12, Isu 2, November 2025
JURNAL PERTANIKA MAHAWANGSA
e-ISSN: 2805-5691
Wan Nur Aida Sakinah Wan Jusoh
Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa
Norfaizah Abdul Jobar
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Md Zahril Nizam Md Yusoff
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Kata kunci: Peribahasa Melayu; Logikal Makna; Penulisan Karangan; Wacana Akademik
Peribahasa Melayu merupakan ungkapan yang mencerminkan keintelektualan masyarakat lama dalam menyampaikan nasihat dan pengajaran secara berhemah. Namun, penggunaan peribahasa dalam penulisan wacana tidak mudah disesuaikan kerana makna tersiratnya sering sukar difahami secara literal atau berdasarkan analisis nahu semata-mata. Kejayaan penggunaan peribahasa bergantung kepada kesesuaian makna dengan idea dan huraian dalam teks untuk membentuk koheren. Kajian ini bertujuan menganalisis perkaitan makna peribahasa dengan kesinambungan idea dalam perenggan wacana melalui gabungan analisis struktural fungsional. Penelitian menggunakan analisis Tema-Rema daripada Teori SFL dan analisis Topik-Komen menggunakan pendekatan struktural fungsional peribahasa Dundes (1975). Sebanyak lapan perenggan yang mengandungi 10 peribahasa telah dianalisis. Hasil kajian mendapati dua peribahasa tidak berhubung dengan klausa atau ayat kerana situasi penggunaan yang kurang sesuai dan penghubung yang tidak selaras dengan konteks, serta terdapat dua idea yang berbeza dalam satu perenggan. Kajian ini menegaskan kepentingan pemilihan peribahasa yang tepat untuk memastikan idea dalam perenggan dapat disampaikan dengan baik. Peribahasa bukan sahaja berfungsi sebagai penyeri dalam penulisan, tetapi juga sebagai alat retorik utama yang membantu menyusun aliran maklumat di samping memartabatkan nilai kehalusan bahasa masyarakat Melayu dalam menyampaikan intipati wacana akademik. Penemuan ini membuktikan bahawa peribahasa mampu dianalisis secara struktural untuk mengesan dan meningkatkan koheren dalam penulisan wacana.