Volume 12, Isu 2, November 2025
JURNAL PERTANIKA MAHAWANGSA
e-ISSN: 2805-5691
Muhammad Zakin Haziq Mohamad Zamberi
Universiti Utara Malaysia
Rohaya Md Ali
Universiti Utara Malaysia
Kata kunci: Merong Mahawangsa; wira historikal; wira kontemporari; transformasi; industri kreatif
Wira merupakan suatu tradisi yang sudah sebati dalam sesebuah masyarakat. Masyarakat Melayu sendiri mempunyai limpahan watak wira yang dibentuk dalam pelbagai karya kesusasteraan. Wira memainkan peranan penting sebagai wadah penceritaan atau pengabsahan kehebatan sesebuah bangsa atau kelompok dalam pelbagai aspek kehidupan. Melihat kepada perkembangan semasa, kepentingan wira dalam masyarakat telah perlahan-lahan mendapat sentuhan teknologi digital. Hal ini menyebabkan pelbagai watak wira mulai muncul dalam bentuk filem dan animasi. Fenomena ini telah membuka satu ruang penelitian baharu rentetan perbezaan yang berlaku dan berlainan daripada rupa asal wira historikal setelah ditransformasikan kepada wira kontemporari. Maka, tujuan penulisan ini adalah untuk membahaskan perubahan wira terpilih setelah ditukarkan kepada bentuk filem bagi menentukan sama ada wira historikal pilihan masih mengekalkan status keperwiraannya dalam bentuk wira kontemporari. Perbincangan berkenaan situasi ini dilaksanakan dengan menerapkan pendekatan kualitatif bersama-sama dengan kaedah analisis teks. Analisis teoretis dilakukan dengan menggunakan teori The Hero’s Journey oleh Joseph Campbell (1949) sebagai landasan kajian wira pilihan. Data penelitian menggunakan filem Merong Mahawangsa (2011) dan rujukan teks asal Hikayat Merong Mahawangsa. Hasil penelitian mengesan beberapa perbezaan terhadap wira pilihan. Selain itu, hasil analisis juga dapat membuktikan bahawa wira pilihan masih kekal sebagai wira meskipun telah berlaku pelbagai perubahan setelah ditukarkan kepada bentuk filem. Walaupun wujud pelbagai perbezaan dari sumber asalnya, usaha pihak produksi filem untuk menzahirkan wira pilihan perlu diberikan pujian kerana ia merupakan cerminan kepada kemampuan industri kreatif tanah air untuk menghidupkan sesebuah karya historiografi di samping membolehkan masyarakat untuk memahami transformasi budaya yang melibatkan wira-wira tradisional dalam konteks kontemporari.