Volume 12, Isu 2, November 2025
JURNAL PERTANIKA MAHAWANGSA
e-ISSN: 2805-5691
Nor Natasha Mohamad Asri
Universiti Putra Malaysia
Vijayaletchumy Subramaniam
Universiti Putra Malaysia
Pavitra Vasuthevan
Universiti Putra Malaysia
Kata kunci: disleksia; kesalahan; suku kata; aspek pembacaan; kanak-kanak
Kajian ini memfokuskan kesalahan yang dilakukan oleh murid-murid disleksia dalam aspek bacaan pola suku kata. Murid-murid disleksia menghadapi masalah pembelajaran khususnya masalah 3M, iaitu kesukaran dalam membaca, menulis dan mengira. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti jenis kesalahan pola suku kata dalam aspek bacaan murid-murid disleksia serta menjelaskan teknik pola suku kata diftong dalam kalangan murid-murid disleksia. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dalam mengumpul data kajian. Kaedah kajian yang digunakan terdiri daripada kaedah temu bual separa berstruktur, ujian bacaan dan pemerhatian. Seramai lima orang murid disleksia berumur antara 10 hingga 13 tahun dari kelas pertengahan daripada Pusat Genius Disleksia Malaysia, Titiwangsa telah dipilih sebagai sampel kajian. Kesalahan bacaan murid disleksia dianalisis berdasarkan tujuh mekanisme yang terdapat di dalam Teori Sindrom Disleksia Levinson (1994). Bagi mendapatkan data, kajian ini menggunakan beberapa instrumen, iaitu slaid teknik kod warna, teks ujian bacaan dan perakam audio. Hasil kajian menunjukkan antara kesalahan yang dilakukan oleh murid disleksia berdasarkan teori, hanya lima kesalahan yang kerap berlaku, iaitu penggantian, pengguguran, pembalikan, penambahan dan agak-agakan. Dari segi impak, kajian ini diharapkan dapat menyumbang secara signifikan kepada pengembangan pengetahuan berkaitan kesukaran membaca yang dialami oleh murid-murid disleksia, khususnya dalam aspek penguasaan pola suku kata diftong. Murid-murid juga menunjukkan tumpuan dan minat yang tinggi sepanjang sesi pengajaran. Secara keseluruhannya, pendekatan teknik kod warna berasaskan pola suku kata didapati berkesan dalam membantu murid-murid disleksia dalam mengenal pasti jenis pola suku kata dalam bacaaan. Selain itu, hasil kajian ini juga boleh dijadikan sebagai asas rujukan dalam pembangunan modul pengajaran dan bahan sokongan yang sesuai bagi meningkatkan kecekapan bacaan murid-murid disleksia.