Volume 12, Isu 2, November 2025
JURNAL PERTANIKA MAHAWANGSA
e-ISSN: 2805-5691
Nur Aishahtul Amira Sabaruddin
Universiti Putra Malaysia
Vijayaletchumy Subramaniam
Universiti Putra Malaysia
Kata kunci: kata adjektif bentuk; disleksia; terapi visual; pengecaman huruf; kad imbas
Murid disleksia sering kali menghadapi masalah untuk mengecamkan dan membezakan huruf yang sama. Kelemahan ini telah memberikan dampak yang negatif kepada pembacaan dan penulisan mereka. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti elemen kata adjektif bentuk yang sesuai untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran pengecaman huruf serta menjelaskan tahap keberkesanan penggunaannya melalui terapi visual dalam kalangan murid disleksia. Kajian ini dijalankan menggunakan pendekatan kualitatif menerusi kaedah pemerhatian berstruktur dan temu bual tidak berstruktur. Seramai enam orang murid disleksia daripada Pusat Disleksia Genius Malaysia, Titiwangsa telah dipilih sebagai sampel kajian. Data dikumpulkan melalui alat kajian, seperti kad imbas dan borang maklum balas. Kajian ini disokong oleh Teori Memori Atkinson-Shiffrin (1968) dan Model ARCS (Keller, 2010) untuk membina pendekatan pengajaran yang berkesan dan menarik. Hasil dapatan menunjukkan bahawa penggunaan kad imbas yang mengandungi elemen kata adjektif bentuk antaranya ialah ‘buncit’ mewakili huruf [b], ‘lekuk’ mewakili [p], ‘melengkung’ mewakili huruf [m] dan ‘bengkok’ mewakili huruf [u] dengan menggunakan objek visual sebenar mampu untuk membantu murid disleksia mengecamkan huruf dengan mudahnya. Responden juga menunjukkan tumpuan dan minat yang tinggi sepanjang sesi pengajaran. Secara keseluruhannya, pendekatan kad imbas sebagai terapi visual berasaskan kata adjektif bentuk didapati berkesan untuk membantu murid disleksia dalam pengecaman huruf serta meningkatkan penglibatan aktif murid disleksia dalam pembelajaran.