Volume 13, Isu 1, Jun 2026
JURNAL PERTANIKA MAHAWANGSA
e-ISSN: 2805-5691
Tan Kok Chin
Universiti Putra Malaysia
Kata kunci: Sastera Kebangsaan; Sastera Mahua; genealogi Foucault; kaunter-wacana; pluralisme; subjektiviti
Makalah ini mencerakin dinamika kuasa dan pertembungan wacana antara Sastera Kebangsaan (sebagai wacana dominan) dengan Sastera Cina Malaysia (Sastera Mahua). Kajian ini mengaplikasikan pendekatan genealogi Michel Foucault untuk membedah mekanisme “prosedur penyingkiran” yang meminggirkan sastera bukan Melayu, serta memanfaatkan kerangka Pluralisme John Kekes untuk menilai semula legitimasi nilai dalam masyarakat majmuk. Melalui analisis tekstual dan kontekstual, kajian mendapati bahawa respons Sastera Mahua terhadap hegemoni monolingual ini bukanlah bersifat pasif, sebaliknya berevolusi menerusi tiga strategi “kaunter-wacana” (counter-discourse) yang distinktif. Pertama, era Fang Beifang memperlihatkan strategi “legitimasi” menerusi patriotisme dan realisme akar umbi untuk menuntut pengiktirafan nasional. Kedua, era 1990-an menyaksikan polarisasi teoretikal, iaitu Ng Kim Chew memperkenalkan “estetika pemisahan” dan wacana transnasional untuk menolak beban negara-bangsa, manakala Chong Fah Hing mengusulkan integrasi sistem terbuka. Ketiga, era kontemporari menerusi Li Zishu menandakan fasa “rekonstruksi”, iaitu praktik penulisan realisme baharu digunakan untuk mensinkronisasikan naratif Mahua dengan sejarah negara. Tegasnya, kajian ini merumuskan bahawa Sastera Mahua telah berjaya mentransformasikan kedudukannya daripada status “Liyan” (The Other) kepada pembinaan subjektiviti baharu yang menyumbang kepada kepelbagaian citra sastera Malaysia.