Volume 13, Isu 1, Jun 2026
JURNAL PERTANIKA MAHAWANGSA
e-ISSN: 2805-5691
Nur Mushitah binti Agus Suyanto
Universiti Putra Malaysia
Vijayaletchumy Subramaniam
Universiti Putra Malaysia
Pavitra Vasuthevan
Universiti Putra Malaysia
Kata kunci: gambar rangsangan; kanak-kanak; pemerolehan bahasa; perbendaharaan kata
Kajian ini bertujuan meneliti peranan gambar sebagai rangsangan visual dalam pemerolehan perbendaharaan kata kanak-kanak prasekolah berusia tiga hingga empat tahun. Permasalahan kajian ini berpunca daripada kekurangan kajian yang meneliti secara khusus penggunaan gambar sebagai pemangkin pemerolehan perbendaharaan kata berdasarkan golongan kata, khususnya kata nama, kata kerja dan kata adjektif dalam pertuturan kanak-kanak. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitataif deskriptif dengan reka bentuk kajian kes yang melibatkan dua orang subjek kanak-kanak. Data dikumpulkan melalui temu bual separa berstruktur menggunakan bahan rangsangan bergambar dan dianalisis menggunakan kaedah analisis kandungan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa penggunaan gambar berjaya mencetuskan pertuturan spontan serta membantu kanak-kanak mengenal pasti dan menggunakan pelbagai golongan kata secara kontekstual. Perbezaan tahap penguasaan bahasa turut dikenal pasti, iaitu subjek yang lebih berusia menunjukkan penggunaan perbandaharaan kata dan struktur ayat lebih kompleks. Kajian ini membuktikan bahawa gambar berperanan sebagai pemangkin penting dalam pemerolehan bahasa awal kanak-kanak dan memberikan implikasi terhadap penggunaan bahan visual dalam pendidikan awak kanak-kanak.