Volume 13, Isu 1, Jun 2026
JURNAL PERTANIKA MAHAWANGSA
e-ISSN: 2805-5691
Kaithiri Arumugam
Institut Pendidikan Guru Kampus Darul Aman (IPDA)
Rosnani binti Md. Zain
Universiti Putra Malaysia
Kata kunci: metafiksyen; elemen bingkai; buku cerita bergambar kanak-kanak; teks; gambar
Kewujudan metafiksyen dalam buku cerita bergambar kanak-kanak menjadikan penulisan fiksyen lebih bersistematik dan berupaya menarik minat pembaca. Dalam buku cerita bergambar kanak-kanak, metafiksyen wujud apabila dua naratif visual atau dua naratif teks hadir secara serentak dalam satu muka surat yang sama. Metafiksyen yang terdapat dalam buku berkenaan ditunjukkan melalui elemen bingkai, iaitu bentuk kerangka yang digunakan di sekeliling teks atau gambar untuk menunjukkan beberapa naratif dalam satu naratif yang sama. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti elemen bingkai dalam buku cerita bergambar kanak-kanak bahasa Melayu dan menganalisis elemen bingkai tersebut. Kaedah analisis kandungan yang dikemukakan oleh Krippendorff (2004) digunakan untuk mengumpul dan menganalisis data. Sebanyak enam buah buku cerita bergambar kanak-kanak terpilih berbahasa Melayu telah digunakan sebagai data kajian. Hasil kajian menunjukkan bahawa metafiksyen yang digambarkan menerusi elemen bingkai dalam buku yang dianalisis mempunyai makna tersendiri. Dapatan kajian menunjukkan bahawa elemen bingkai dalam buku cerita bergambar kanak-kanak yang dianalisis berperanan penting dalam membentuk pemaknaan metafiksyen dan membantu pembaca memfokuskan perhatian terhadap peristiwa naratif yang dipaparkan dalam gambar. Oleh itu, elemen bingkai dalam buku cerita bergambar kanak-kanak perlu diperbanyak kerana perkara itu merupakan antara cara untuk mengarahkan pembaca memberikan tumpuan yang khusus terhadap peristiwa yang berlaku di dalam bingkai yang terdapat pada sesuatu gambar. Kesimpulannya, kajian ini menegaskan bahawa elemen bingkai memainkan peranan signifikan dalam merepresentasikan metafiksyen dalam buku cerita bergambar kanak-kanak berbahasa Melayu serta membuka ruang perbincangan lanjut dalam bidang sastera dan ilustrasi kanak-kanak.