Volume 13, Isu 1, Jun 2026
JURNAL PERTANIKA MAHAWANGSA
e-ISSN: 2805-5691
Kavenia Kunasegran
Universiti Putra Malaysia
Atirah Rusdi
Universiti Putra Malaysia
Kata kunci: strategi penterjemahan; artikel sosial; Portal Bernama; bahasa Inggeris; bahasa Melayu
Kajian ini untuk mengenal pasti kesalahan terjemahan dan menganalisis strategi penterjemahan dalam artikel sosial yang diterjemahkan daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu di Portal Bernama. Artikel sosial dipilih kerana berkait rapat dengan isu kemasyarakatan, kenyataan rasmi, dan laporan semasa, yang menuntut ketepatan makna, kejelasan mesej, serta kesesuaian budaya dalam bahasa sasaran. Pendekatan kualitatif menggunakan analisis dokumen dilakukan terhadap pasangan teks sumber dan teks sasaran. Analisis berpandukan kerangka Molina dan Hurtado Albir (2002) menunjukkan empat kategori kesalahan terjemahan: kesalahan makna, kesalahan ayat, kesalahan semantik, dan kesalahan tatabahasa, dengan kesalahan makna paling dominan. Strategi terjemahan literal dan pengguguran yang tidak terkawal menyumbang kepada kesalahan, manakala strategi modulasi, adaptasi, dan parafrasa secara terkawal lebih berkesan mengekalkan ketepatan makna dan kejelasan mesej. Kesimpulannya, pemilihan strategi penterjemahan yang sesuai memainkan peranan penting untuk memastikan bahawa artikel sosial disampaikan tepat, jelas, dan selari dengan norma bahasa Melayu standard.