Volume 13, Isu 1, Jun 2026
JURNAL PERTANIKA MAHAWANGSA
e-ISSN: 2805-5691
Aqhari Isa
Universiti Sains Malaysia
Kata kunci: strategi penterjemahan; artikel sosial; Portal Bernama; bahasa Inggeris; bahasa Melayu
Mitos dan sejarah ialah dua aspek yang berbeza, namun makalah ini akan meneliti kedua-dua aspek tersebut dalam satu konteks yang sama. Hal ini kerana kedua-dua aspek tersebut memainkan peranan penting dalam membentuk identiti kolektif sesuatu bangsa. Simbol identiti kolektif bangsa ini terbina berasaskan sejarah yang panjang melalui sistem kepemimpinan monarki. Sistem ini diketuai oleh seorang raja sebagai pemerintah tertinggi yang diwarisi secara turun-temurun sehingga kadangkala berlakunya sesuatu konflik. Konflik kepemimpinan monarki berbeza dengan kepemimpinan demokrasi kerana sistem ini melibatkan legitimasi keturunan dan kedaulatan mutlak. Oleh itu, makalah ini bertujuan untuk membandingkan konflik kepemimpinan monarki yang berlaku dalam kalangan kerabat diraja melalui mitos “Perpecahan antara Orang Asli dengan Orang Melayu” khususnya masyarakat Semai menerusi buku Tradisi Lisan Masyarakat Semai (1990) oleh Juli Edo dengan peristiwa sejarah “Perebutan Takhta antara Raja Kasim dengan Raja Ibrahim” dalam teks Sejarah Melayu versi W.G. Shellabear (1977). Kaedah yang digunakan dalam makalah ini ialah kaedah analisis tekstual dengan berpandukan nilai teras yang terdapat dalam kerangka dasar Malaysia MADANI oleh Anwar Ibrahim (2022). Nilai teras yang terdapat dalam dasar ini akan digunakan untuk membandingkan konflik kepemimpinan monarki yang berlaku dalam kedua-dua peristiwa tersebut. Oleh yang demikian, untuk menilai kerangka autoriti dan legitimasi kuasa serta fungsi konflik dalam masyarakat maka makalah ini turut menggunakan Teori Birokrasi oleh Max Weber (1947) dan Teori Konflik oleh Lewis A. Coser (1956). Akhirnya, kajian ini mendapati bahawa kesan daripada penyelesaian konflik dalam kedua-dua peristiwa tersebut adalah dengan dua cara: (1) persaingan kuasa dan (2) bertolak ansur. Secara keseluruhan, makalah ini menunjukkan bahawa penyelesaian konflik kepemimpinan monarki tidak bersifat tunggal, sebaliknya penyelesaian ini boleh dilakukan melalui pendekatan distributif dan integratif.