Volume 13, Isu 1, Jun 2026
JURNAL PERTANIKA MAHAWANGSA
e-ISSN: 2805-5691
Wan Shahira Mardhiah Wan Zahari
Universiti Putra Malaysia
Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi
Universiti Putra Malaysia
Kamariah Kamarudin
Universiti Putra Malaysia
Kata kunci: isu, kontemporari; cerpen; kanak-kanak
Cerpen merupakan salah satu genre yang digemari oleh kanak-kanak pada masa ini. Cerpen dikatakan bahan bacaan yang mampu membina minda kanak-kanak seiring dengan usia mereka yang perlu diberi keutamaan dari segi sokongan dan didikan yang sempurna. Justeru, cerpen kanak-kanak merangkumi semua jenis penulisan berbentuk kreatif dan imaginatif yang dikhususkan untuk dibaca, dinilai dan diberikan rasa keriangan kepada kanak-kanak. Penulisan bahan bacaan kanak-kanak perlu bersesuaian dengan umur dan taraf berfikir serta bahasa yang digunakan. Bentuk, isi dan tujuannya perlu menimbulkan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak supaya mesej dalam cerita difahami oleh kanak-kanak. Namun, terdapat beberapa isu yang wujud, seperti cerpen kanak-kanak dikatakan tidak sesuai dengan pemikiran mereka. Justeru, objektif kajian untuk mengenal pasti isu kontemporari yang terdapat dalam kumpulan cerpen kanak-kanak pilihan dan menganalisis isu kontemporari yang terdapat dalam kumpulan cerpen kanak-kanak pilihan berlandaskan Teori Hierarki Keperluan Manusia. Bahan kajian yang digunakan ialah buku kumpulan cerpen kanak-kanak E-mel untuk Merdeka karya Salina Ibrahim. Kajian ini menggunakan kaedah kepustakaan dan Teori Hierarki Keperluan Manusia yang diasaskan oleh Abraham Maslow untuk memperkukuh kajian. Hasil kajian mendapati bahawa isu kontemporari, seperti sosial, kesihatan, teknologi, kekeluargaan, keselamatan dan pendidikan digarap dengan baik oleh pengarang. Isu baharu yang diutarakan oleh pengarang juga membantu kanak-kanak mengenal dunia realiti selain membuka minda kanak-kanak mengenal isu kehidupan kini. Isu yang pelbagai ini mampu memberikan wadah pembacaan yang baik dan menyeluruh sesuai dengan keperluan kanak-kanak masa ini.