Volume 13, Isu 1, Jun 2026
JURNAL PERTANIKA MAHAWANGSA
e-ISSN: 2805-5691
SH. Mohd Amar Izan Bin Sharif Saufi
Universiti Putra Malaysia
Vijayaletchumy Subramaniam
Universiti Putra Malaysia
Pavitra Vasuthevan
Universiti Putra Malaysia
Kata kunci: interaksi sosial; bahasa kedua; generasi muda; bahasa ibunda
Kajian ini meneliti pengaruh interaksi sosial terhadap penggunaan bahasa kedua, iaitu bahasa Melayu, dalam kalangan generasi muda di Kampung Tabanak, Lahad Datu, Sabah. Masalah utama yang dikenal pasti ialah kecenderungan remaja untuk menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pertama dalam kehidupan harian, manakala bahasa Melayu hanya digunakan dalam konteks formal seperti sekolah. Justeru, kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti faktor sosial yang mempengaruhi penguasaan bahasa Melayu serta menghuraikan faktor dominan yang menyumbang kepada pengekalan bahasa ibunda sebagai medium komunikasi utama. Pendekatan kajian kualitatif digunakan ialah kaedah temu bual separa berstruktur dan pemerhatian tidak formal terhadap 15 orang remaja suku Bajau, Suluk dan Dusun. Lokasi kajian adalah di Kampung Tabanak, Lahad Datu. Instrumen kajian termasuk rakaman audio, nota lapangan dan transkripsi verbatim. Data dianalisis secara tematik berdasarkan Model Sosioedukasi Gardner (1985). Dapatan menunjukkan bahawa faktor persekitaran sosial yang homogen, pengaruh keluarga, dan rakan sebaya memainkan peranan dominan dalam mengekalkan penggunaan bahasa ibunda. Bahasa Melayu dikuasai secara fungsional tetapi kekal marginal dalam komunikasi harian. Sikap remaja yang menganggap bahasa Melayu sebagai "asing" turut menyumbang kepada penguasaan yang lemah. Impak kajian ini ialah memberi pemahaman yang lebih mendalam terhadap isu linguistik dalam komuniti pelbagai etnik serta memberi panduan kepada pembuat dasar, pendidik dan ibu bapa untuk merancang strategi yang lebih berkesan dalam memartabatkan bahasa kebangsaan tanpa menjejaskan bahasa ibunda. Kajian ini juga menyumbang kepada usaha pemeliharaan warisan linguistik tempatan.