Volume 13, Isu 1, Jun 2026
JURNAL PERTANIKA MAHAWANGSA
e-ISSN: 2805-5691
Nur-Effariza Taib
Universiti Kebangsaan Malaysia
Wan Muna Ruzanna Wan Mohammad
Universiti Kebangsaan Malaysia
Muhammed Azlan Mis
Universiti Kebangsaan Malaysia
Kata kunci: kata kerja; kosa kata; murid Iban; bahasa kedua; pembangunan modul
Penguasaan kata kerja merupakan aspek penting dalam pembelajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua kerana kata kerja membantu murid membina ayat, menyatakan perbuatan dan menyampaikan idea dengan jelas. Dalam konteks murid Iban Tahun Empat di sekolah rendah luar bandar Sarawak, penguasaan kata kerja bahasa Melayu masih menjadi cabaran yang berkait dengan kekurangan kosa kata, kekeliruan penggunaan imbuhan, pengaruh bahasa Iban, pendedahan bahasa Melayu yang terhad di luar bilik darjah serta kekurangan bahan pembelajaran yang sesuai dengan latar bahasa murid. Kajian ini bertujuan menganalisis keperluan pembangunan Modul Jaku Pengawa untuk menyokong penguasaan kata kerja bahasa Melayu murid Iban Tahun Empat. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan tumpuan kepada fasa analisis keperluan dalam Model ADDIE. Data diperoleh melalui perbincangan kumpulan berfokus yang melibatkan sepuluh orang guru Bahasa Melayu berpengalaman lebih sepuluh tahun mengajar murid Iban di sekolah rendah luar bandar daerah Saratok, Sarawak. Data ditranskripsikan dan dianalisis secara tematik dengan bantuan ATLAS.ti. Hasil analisis mengenal pasti lima tema utama, iaitu masalah pembelajaran bahasa Melayu, faktor pemilihan perkataan, faktor minat murid, kekangan pembelajaran dan keperluan pembangunan modul. Dapatan menunjukkan bahawa modul perlu berfokus pada kata kerja, menyediakan aktiviti bertahap, menggabungkan latihan imbuhan dan menggunakan konteks kehidupan murid. Kajian ini menyediakan asas empirikal bagi pembangunan modul pembelajaran kata kerja bahasa Melayu yang lebih tersusun, kontekstual dan sesuai dengan keperluan murid bukan penutur natif di sekolah luar bandar.