Volume 13, Isu 1, Jun 2026
JURNAL PERTANIKA MAHAWANGSA
e-ISSN: 2805-5691
Shandhi Velusamy
Universiti PutraMalaysia
Vijayaletchumy Subramaniam
Universiti Putra Malaysia
Kata kunci: analisis kesalahan; kata sendi nama; kekeliruan; kompetensi tatabahasa; sekolah vernakular Tamil
Kompetensi penggunaan kata sendi “dari” dan “daripada” memainkan peranan penting dalam pembinaan ayat gramatis, namun aspek ini sering menjadi cabaran kepada murid sekolah rendah, khususnya di sekolah vernakular Tamil. Kajian ini bertujuan meneliti tahap kompetensi penggunaan kata sendi “dari” dan “daripada” dalam kalangan murid Tahun 6 di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Ipoh, Perak. Dapatannya digunakan untuk menghasilkan kit inovasi permainan TAM-BOS ksn dengan menggunakan model Pembangunan DDR dan Teori Analisis Kesilapan Corder (1981) serta menguji keberkesanan kit inovasi permainan TAM-BOS ksn bagi murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Kajian menggunakan reka bentuk tinjauan kuantitatif, disokong oleh penganalisisan teks, pemerhatian dan temu bual. Instrumen penilaian dibina berdasarkan Teori Analisis Kesalahan Bahasa Corder (1981), manakala analisis statistik deskriptif (SPSS) dijalankan untuk menentukan tahap kompetensi keseluruhan dan mengenal pasti pola kesalahan melibatkan dua kata sendi tersebut. Seramai 65 murid terlibat sebagai responden. Dapatan menunjukkan bahawa tahap kompetensi keseluruhan adalah rendah (M = 41.40%, SD = 18.20), dengan 73.8% murid berada dalam kategori rendah (0–50%). Kesalahan paling dominan melibatkan kekeliruan fungsi “dari” yang digunakan untuk menandai tempat, arah dan masa, serta “daripada” yang menandai bandingan, orang dan sumber. Kekeliruan fungsi menyebabkan ketidaktepatan makna dan ketidakgramatisan dalam ayat murid. Analisis juga menunjukkan bahawa faktor seperti pendedahan yang terhad, amalan PdP yang bersifat tradisional, serta kurangnya latihan kontekstual menyumbang kepada pengukuhan kesilapan berulang. Dapatan menegaskan bahawa keperluan strategi pengajaran eksplisit dan responsif budaya, seperti latihan kontekstual, peta konsep, permainan bahasa dan penulisan berpandu, perlu untuk membantu murid membezakan “dari” dan “daripada” dengan lebih tepat. Kajian awal meneliti kompetensi penggunaan kedua-dua kata sendi ini secara khusus malahan kajian ini menawarkan panduan penting kepada guru, pembangunan kurikulum dan pembuat dasar dalam merangka intervensi yang dapat meningkatkan ketepatan tatabahasa dan mutu penulisan murid.