KAJIAN UNSUR BUDAYA DALAM NAZAM BERENDOI DAN DIKIR REBANA DI PAHANG
Silahudin S.
Universiti Malaya
Nama Isu: Vol. 8, No. 2, November 2021
Abstrak
Nazam berendoi dan dikir rebana merupakan kesenian tradisi bercirikan Islam yang diamalkan dalam masyarakat Melayu di Pahang. Sumber teks nyanyian dalam nazam berendoi dan dikir rebana diambil daripada Kitab Barzanji berbahasa Arab. Kedua-dua bentuk kesenian tradisi ini mempunyai fungsi tertentu dalam masyarakat. Dalam konteks semasa, kumpulan kesenian wanita menyanyikan nazam berendoi dan dikir rebana. Kumpulan kesenian wanita dianggap oleh penduduk tempatan sebagai ‘penjaga’ kesenian tradisi ini. Tujuan kajian ini, untuk mengenal pasti dan menganalisis unsur budaya yang terkandung dalam kesenian nazam berendoi dan dikir rebana di Pahang. Terdapat tiga kaedah yang digunakan dalam kajian ini. Pertama, menerusi pemerhatian lapangan yang dijalankan pada 2015 dan 2016 di dua lokaliti di Pahang. Kedua, menerusi beberapa siri temu duga yang melibatkan penggiat kesenian tradisi dan penduduk tempatan. Ketiga, menerusi analisis tekstual melibatkan teks bertulis dan teks audiovisual. Hasil kajian dibincangkan menerusi tiga perkara: pengenalan dan kegiatan bacaan kitab Barzanji, tradisi nazam berendoi dan tradisi dikir rebana. Kajian ini diharap dapat dijadikan sebagai panduan kepada penyelidik lain dalam meneliti kesenian tradisi Pahang dan menarik minat generasi muda.