PENGETAHUAN PELAJAR TERHADAP KERJAYA DALM BIDANG BAHASA MELAYU


Zuraini Jusoh

Universiti Putra Malaysia

Rozita Radhiah Said

Universiti Putra Malaysia

Norazlina Mohd Kiram

Universiti Putra Malaysia


Nama Isu: Vol. 9, No. 1, Jun 2022 

Abstrak

Kajian tinjauan ini telah dijalankan kepada seramai 63 orang pelajar Bacelor Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia serta 36 orang pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah swasta di negeri Selangor. Tujuan utama kajian ini dijalankan adalah untuk mengenal pasti pengetahuan pelajar terhadap kerjaya dalam bidang bahasa Melayu. Oleh itu, satu set soal selidik yang mengandungi 47 soalan menggunakan skala perbezaan semantik dan sembilan soalan terbuka telah diedarkan kepada responden kajian. Walau bagaimanapun, untuk tujuan penulisan kertas kerja ini hanya soalan nombor enam, iaitu soalan terbuka tentang pengetahuan pelajar terhadap kerjaya yang boleh diceburi pelajar yang mengambil program bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi akan dikupas. Untuk soalan terbuka ini, pelajar diberi ruang untuk menulis lebih daripada satu kerjaya yang diketahui mereka. Hasilnya, dapatan kajian menunjukkan bahawa pelajar bidang bahasa di institusi pengajian tinggi dapat menyenaraikan antara satu hingga empat pilihan kerjaya yang diketahui mereka dan sekurang-kurangnya 14 kerjaya telah disenaraikan. Manakala, pelajar tingkatan lima pula dapat menyenaraikan sekurang-kurangnya lima pilihan kerjaya dalam bidang bahasa yang diketahui mereka dengan 12 kerjaya disenaraikan. Walaupun pelajar didapati dapat menyenaraikan kerjaya dalam bidang bahasa Melayu, namun kerjaya yang disenaraikan tersebut kurang relevan dengan bidang ini. Keadaan ini memberikan gambaran bahawa pengetahuan kerjaya dalam kalangan responden kajian masih rendah.

Lihat artikel penuh↗️


Terbit

2022-06-14