MAHAWANGSA - M04 November 2022
KESERONOKAN DALAM SIRI YOUNG AISYAH DARI PERSPEKTIF NODELMAN (1992)
Rohayati Junaidi
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali
Universiti Malaya
Madiawati Mamat @ Mustaffa
Universiti Malaya
Mohd Amir Mohd Zahari
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Farra Humairah Mohd
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Nordiana Hamzah
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Hasrina Baharum
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Nama Isu: Vol. 9, No. 2, November 2022
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk menganalisis Siri Young Aisyah dalam memenuhi kehendak pembaca kanak-kanak. Penghasilan buku cerita kanak-kanak berada pada tahap yang memberangsangkan, namun ciri buku cerita kanak-kanak yang menjadi kayu ukur kepada penerbit dalam menerbitkan buku cerita kanak-kanak perlu dikenal pasti. Hal ini kerana buku cerita merupakan salah satu bahan bacaan yang akan mewarnai kehidupan kanak-kanak. Justeru, buku kanak-kanak yang menitikberatkan ciri-ciri penceritaan yang mudah, menekankan aksi, tidak rumit dan berakhir dengan kebahagiaan dapat menjadi aspek penting dalam menghasilkan buku bacaan kanak-kanak. Oleh itu, buku kanak-kanak yang menitikberatkan ciri-ciri tersebut dapat memberi kepuasan dan kebahagiaan kepada kanak-kanak. Sehubungan dengan itu, objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti ciri penting yang diterapkan dalam penghasilan buku cerita kanak-kanak dengan menggunakan kaedah analisis teks. Analisis ini memperlihatkan ciri-ciri buku kanak-kanak yang dihasilkan oleh Penerbit PTS dalam mendidik dan menarik minat pembaca dari golongan kanak-kanak. Kajian ini mengaplikasikan tiga ciri keseronokan kesusasteraan kanak-kanak yang dikemukakan dalam The pleasures of Children’s Literature oleh Nodelman (1922). Ciri-ciri tersebut ialah, mudah, tetapi bukan bermaksud simplistik, optimistik dan berakhir dengan kebahagiaan dan bersifat didaktik. Dapatan kajian menunjukkan bahawa buku kanak-kanak yang baik perlu menekankan jalan cerita yang ringkas dan mudah sekali gus dapat membawa nilai pengajaran dengan berkesan. Situasi ini sekali gus memanifestasikan kepentingan ciri-ciri yang perlu ditekankan oleh penerbit dalam menghasilkan buku kanak-kanak. Kesimpulannya, Siri Young Aisyah dengan menggunakan The Pleasures of Children’s Literature oleh Nodelman (1992) dapat menjelaskan bahawa buku cerita kanak-kanak yang baik mampu memberi keseronokan dan mementingkan penceritaan yang ringkas, mudah sekali gus menyelitkan nilai-nilai murni untuk mendidik kanak-kanak.